Selasa, 26 Mei 2009

Ayat majmuk gabungan

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang dibina oleh dua atau lebih klausa bebas dengan menggunakan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, serta, lalu dan sebagainya.
Koma mungkin digunakan jika gabungan terdiri daripada tiga atau lebih klausa.

Cuba teliti contoh di bawah.
(1) Aminah pandai menyanyi dan menari
(2) Aminah pandai menyanyi
(3) Aminah pandai menari

Ayat yang (1) berasal daripada ayat (2) dan (3).
Kedua-dua ayat (2) dan (3) dihubungkan dengan menggunakan kata hubung dan.
Klausa (2) dan (3) sama tarafnya iaitu klausa utama.

Lihat contoh berikut pula:
(1) Pengetahuan beliau sempit, kupasan-kupasannya cetek, serta contoh-contohnya pula tidak menarik.
(2) Pengetahuan beliau sempit
(3) Kupasannya cetek
(4) Contoh-contohnya pula tidak menarik.

Ayat (1) berasal daripada daripada ayat-ayat (1), (2) dan (3).
Ketiga-tiga ayat digabungkan menjadi satu ayat dengan menggunakan koma dan kata hubung ``serta.''
Semua klausa sama tarafnya, iaitu klausa utama.
Ayat majmuk gabungan boleh jadi ayat yang mengandungi fakta yang sejajar atau fakta yang bertentangan .
Untuk fakta yang bertentangan, kata hubung seperti dan, serta, tambahan, pula, sambil dan sebagainya digunakan.
Untuk fakta yang bertentangan, kata hubungan seperti tetapi, sebaliknya, padahal dan sebagainya digunakan .

Isnin, 25 Mei 2009

Adat Perkahwinan

Adat Perkahwinan
Perkahwinan Tradisional Masyarakat Melayu

Adat perkahwinan tradisional masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa proses iaitu merisik atau meninjau; upacara peminangan; upacara menghantar tanda; hantaran belanja; menjemput; upacara nikah; berinai besar; hari persandingan; jemput menantu.
Perkahwinan Masyarakat Cina

Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari
Perkahwinan Masyarakat India

Di Malaysia majlis perkahwinan masyarakat India dijalankan oleh pendanda. Pedanda memulakan upacara perkahwinan dengan sembahyang memohon restu kepada Tuhan supaya perkahwinan berjalan lancar tanpa apa-apa halangan. Dulang berisi atchatai dibawa kepada hadirin. Atchatai ialah beras yang dicampur kunyit serta bunga yang ditaburkan diatasnya. Beras ini digunakan untuk merestui pengantin sewaktu upacara mengikat thali berlangsung. Pedanda akan menyerahkan thaali kepada pengantin lelaki. Sebaik sahaja diarahkan oleh pedanda, pengantin lelaki akan mengikat thaali pada leher pengantin perempuan. Thaali hendaklah menyentuh dada dan benang suci akan disimpul sebanyak tiga kali. Sewaktu upacara ini berlangsung atchatai akan ditaburkan ke atas pengantin sebagai tanda restu. Seterusnya pengantin akan bertukar kalungan bunga yang dipakai sebanyak tiga kali. Selepas itu pengantin lelaki akan memegang tangan pengantin perempuan dan mengelilingi api sebanyak tiga kali.
Masyarakat Cina Peranakan

Orang-orang Cina peranakan adalah orang Malaysia yang dilahirkan di Negeri-negeri Selat iaitu negeri Melaka, Singapura dan Pulau Pinang. Ahli wanitanya dipanggil nyonya dan ahli lelaki dipanggil Baba. Adat-adat yang serupa masyarakat Melayu boleh di dapati di dalam perkahwinan mereka iaitu dari tepak sireh yang melambangkan kesucian wanita yang akan berkahwin itu. Adat lain termasuk ‘mas kahwin’ diserahkan kepada ibu bapa gadis itu kerana kesucian gadis itu. Upacara lain ialah pertukaran cincin dan hadiah, penggunaan bunga rampai dan pembakaran setanggi. Muzik dimainkan oleh kumpulan ronggeng, boria dan pancaragam serunai Cina. Upacara berlangsung selama 12 hari bagi orang-orang kaya manakala golongan biasa ialah pada hari pertama dan hari kedua belas sahaja.
Masyarakat Orang Asli

Perkahwinan orang asli (Puak Mahmeri) mempunyai banyak persamaan dengan perkahwinan masyarakat Melayu seperti adat merisik, menghantar tanda dan meminang. Sehari sebelum hari perkahwinan beberapa istiadat akan diadakan seperti istiadat menepung tawar/menghalau hantu syaitan; istiadat mengasah gigi/ mengandam; membuang sial; menggantung kelambu dan berinai. Semasa majlis perkahwinan berlangsung, beberapa adat istiadat diadakan sempena majlis tersebut iaitu menjulang pengantin; pertarungan pencak silat; mengelilingi busut; membasuh kaki; nasi dalam/ sirih perancang dan mandi bunga gomba.
Masyarakat Iban, Sarawak

Istiadat perkahwinan orang Iban adalah sungguh meriah. Pengantin perempuan akan dipakaikan dengan pakaian yang indah dan berbagai bentuk perhiasan. Dia akan diarak ke rumah pengantin lelaki dengan iringan pukulan alat-alat muzik yang kuat. Mereka percaya bahawa bunyian alat muzik yang kuat akan menghalang alamat-alamat yang tidak baik. Pada malam pengantin, mereka akan masuk tidur awal bagi mengelakkan dari mendengar alamat-alamat yang tidak baik. Di rumah pengantin lelaki, pengantin perempuan harus bangun pagi untuk menumbuk padi kerana ibu mertuanya akan memastikan tiada beras untuk dimasak. Selepas tiga hari mereka akan tinggal dirumah pengantin perempuan pula selama tiga hari juga. Pengantin lelaki akan ditugaskan untuk mencari kayu api.
Masyarakat Murut, Sabah

Perkahwinan orang Murut adalah seawal umur 15 hingga 18 tahun bagi si teruna dan 13 tahun bagi si gadis. Mas kahwin yang biasa dipohon oleh ibu bapa si gadis orang Murut adalah 2 ekor kerbau; 1 tajau sejenis "tilauan" 1 tajau jenis "minukul" 1 tajau jenis "belaying" 1 tajau jenis "manila" 1 buah gong dan 1 sumpitan. Istiadat perkahwinan akan dijalankan selama lima hari berturut-turut, tiga hari di rumah pihak perempuan dan dua hari di rumah pihak lelaki. Dalam masa tiga hari tetamu akan bersukaria sambil makan dan meminum air tuak. Pertandingan meminum tuak secara persahabatan juga diadakan.
Masyarakat Portugis (Serani)

Pada zaman dahulu perkahwinan orang portugis diadakan pada hari Selasa. Di hari tersebut pengantin perempuan akan memakai kebaya laboh (cabaia) dan kain sarung sutera berwarna putih (saia) beserta kasut yang bermanik. Rambutnya didandan dengan cucuk sanggul dan permata tiruan. Sebelum ke gereja dia mencium tangan ibu dan ayahnya serta seluruh keluarga. Upacara ini dinamakan"large Noiba" Pengantin lelaki pula memakai suit hitam, baju dan bow berwarna putih berserta topi tinggi yang diikat pita hitam. Pengantin lelaki harus tiba terlebih dahulu di gereja dan menunggu pengantin perempuan. Upacara perkahwinan ini dilangsungkan di gereja. Selepas upacara perkahwinan, kedua-dua mempelai ini akan melawat orang-orang yang telah menolong menjayakan perkahwinan mereka untuk mengucapkan terima kasih. Adat ini dinamakan “noiba missa I "gereja".

Kebudayaan Malaysia

Pengenalan Kebudayaan

Kebudayaan adalah keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalam untuk kesejahteraan hidup.
Dalam pengertian yang paling umum, kebudayaan merupakan seluruh cara hidup sesuatu masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkahlaku manusia yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses pembelajaran.
Tetapi dalam pertuturan sehari-hari, kebanyakan daripada kita membuat pengertian kebudayaan atau mengaitkan dengan fenomena-fenomena seperti bentuk tarian dan muzik, makanan, fesyen pakaian sahaja. Jadi pengertian di sini adalah terlalu sempit dan terhad. Tetapi bagi ahli sains sosial, pengertian kepada konsep kebudayaan ini lebih luas.
Dari perspektif sosiologi kebudayaan membawa pengertian segala hasil dan idea yang dipelajari dan dikongsi oleh ahli-ahli dalam sebuah masyarakat. Ini termasuklah segala kepercayaan, nilai-nilai politik, adat resam, undang-undang, moral, institusi sosial, seni lukis, bahasa dan bahan-bahan material.
Edward B.Taylor telah memberi satu takrif yang klasik mengenai konsep kebudayaan.
"..kebudayaan merupakan satu keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat."
(Rujukan sumber dari buku Seminar Kefahaman Budaya, terbitan kementerian Kebudayaan, kesenian dan pelancongan Malaysia - Disember 1999)

Ahad, 24 Mei 2009

Anakku

Isnin, 18 Mei 2009

~ Koleksi Puisi Klasik Dan Moden Yang Segar Sepanjang Zaman ~

~ Koleksi Puisi Klasik Dan Moden Yang Segar Sepanjang Zaman ~

Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik
Hendak menjerat kancil dan rusa
Bergotong-royong amalan yang baik
Elok diamalkan setiap masa

Daun sirih ulam Cik Da
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

Hendak belayar ke Teluk Betong
Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat

Kayu bakar dibuat arang
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
Cermin muka lihat sendiri