Ahad, 28 Jun 2009

Terima Kasih

Terima kasih kepada pelajar yang sudi melayari blog ini. terutama sekali para pelajar 2a6. Cikgu sayang kamu semua. Semoga apa yang cikgu paparkan dapat menjadi panduan dan dapat menambah pengetahuan kamu semua.

Karangan Jenis Perbincangan

1) Karangan jenis ini memerlukan pelajar mengemukakan hujah, ulasan atau pandangan berkenaan sesuatu tajuk. Merupakan karangan tidak berformat.

2) Pelajar memerlukan pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang bagi memudahkan pelajar mengemukakan hujah yang tepat dan padat.

3) Karangan jenis ini biasanya berkaitan dengan isu-isu semasa yang diperdebatkan oleh masyarakat umum. Oleh itu, biasanya pelajar memberikan pandangan pro dan kontra.

4) Pelajar perlu memilih tajuk yang benar-benar dikuasai untu memudahkan mereka memberikan isi dan hujah.

5) Kata kunci yang sering digunakan dalam soalan ialah:
a)Bincangkan
b)Setujukah anda?
c)Beri pandangan anda.
d) Nyatakan kebaikan dan keburukan.

6) Hujah pelajar mestilah logik dan bersesuaian dengan tajuk supaya menggambarkan kematangan. Bagi memantapkan hujah, anda digalakkan memberikan bukti, contoh atau pendapat tokoh tertentu.

7) Pelajar perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami, tepat, ringkas dan padat.

8) Pelajar perlu bijak dan memahami kehendak soalan, sama ada menyokong atau membangkang.

9) Walau bagaimanapun, kadang-kadang pelajar diminta untuk memberikan hujah yang neutral, iaitu tidak menyebelahi mana-mana pihak dengan memberikan hujah kepada kedua-dua belah pihak. Contohnya, bincangkan buruk dan baiknya televisyen kepada pelajar.

10) Pelajar perlu mengikuti format umum penulisan karangan berkenaan, iaitu:

a) Pendahuluan - menyatakan skop yang akan dibincangkan dan menggambarkan tajuk secara tepat dan padat.

b) Isi - memberikan hujah, ulasan dan pendapat tentang isu yang dibincangkan. Setiap isi ditulis dalam perengggan yang berasingan dan isi disusun mengikut kepentingan.

c) Penutup - menyimpulkan perkara yang telah dibincangkan tetapi mestilah bersesuaian dengan tajuk dan nyatakan pendirian anda tentang isu yang dibincangkan.

11) Karangan jenis ini juga memerlukan anda meneliti tiga perkara yang menjadi tugasan tajuk karangan yang dipilih. Sebagai contoh:

a) Bincangkan kesan penurunan harga kereta selepas pengumuman Dasar Automotif Negara baru-baru ini. Tajuk sebegini memerlukan anda membincangkan kebaikan dan keburukan sesuatu isu.

b) Bincangkan kebaikan atau keburukan daripada kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter. Tajuk ini memerlukan anda membincangkan satu aspek sahaja.

c) Bincangkan faktor yang menyebabkan kadar jenayah di negara kita semakin meningkat. Tajuk ini tidak memerlukan anda menulis kebaikan atau keburukan. Hal ini demikian kerana kunci faktor sudah membawa maksud jelaskan atau huraikan.

12) Bagi soalan yang meminta anda memberikan cadangan, pastikan kata bestari yang digunakan untuk mengemukakan sesuatu isi itu bersifat cadangan. Antara kata bestari yang perlu digunakan adalah seperti yang berikut:
* hendaklah
* haruslah
* wajar
* sepatutnya
* mestilah
* amat perlu
* perlulah

Contoh Karangan
(dipetik daripada http://www.geocities.com/karanganhscs/perbincgan3.htm)

Apakah faktor-faktor yang menentukan kejayan seseorang pelajar? Bincangkan.



Kejayaan adalah seseuatu yang seseorang akan dapat setelah mencapai sesuatu yang dikehendaki atau sesuatu matlamat.Kejayaan tidak datang begitu sahaja namun untuk meraih kejayaan, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepadanya.



“Genggam Bara Api Biar Sampai Jadi Arang” adalah salah satu peribahasa yang memberitahu kita bahawa usaha dan kegigihan itu perlu untuk mendapatkan kejayaan. Kejayan seseorang pelajar tidak akan kesempaian sekiranya pelajar itu malas atau tidak mencuba untuk menceburi sesuatu bidang. Ia lebih sukar jika seseorang pelajar itu malas dan enggan mengubah sikapnya yang buruk itu. Kegigihan atau keinginan untuk berjaya atau lulus akan mendorong pelajar tersebut untuk terus mencuba hingga berjaya. Contohnya, Thomas Edison, salah seorang saintis yang terkenal di dunia telah gagal hampir dua ribu kali semasa sedang mereka bulb lampu yang telah memberi kesenangan untuk manusia pada zaman ini tetapi beliau tidak pernah berputus asa kerana beliau percaya bahawa suatu hari nanti beliau akan turut berjaya seperti ahli-ahli sains seperti Albet Einstien. Beliau telah berjaya semasa mereka bulb lampunya yang ke- dua ribu satu.



Faktor penting yang menyumbang pada kejayaan seseorang pelajar itu adalah pentingnya membahagikan masa seharian. Pada zaman sekarang, ramai pelajar begitu sibuk dengan pelbagai aktiviti-aktiviti seperti tuisyen, aktiviti luar darjah (CCA), kelas madrasah dan sebagainya. Ramai pelajar tidak fokus dan mula mengabaikan pelajaran mereka tanpa disedari kerana terlalu sibuk dengan aktiviti-aktiviti tersebut. Pelajar harus pandai membahagikan masa dengan membuat jadual untuk setiap aktiviti setiap hari supaya masanya tidak akan diluang sepenuhnnya pada aktiviti-aktiviti tambahan sahaja malah ia juga akan memberikan masa untuk pelajar itu mengulangkaji pelajarannya.Dengan itu, markah yang baik dapat diraih oleh pelajar tersebut. Ia penting untuk seseorang pelajar itu berjaya dalam pelajaran dan juga kegiatan luar darjah.



Sokongan daripada orang-orang yang kita sayangi tidak harus dilupakan. Orang-orang yang terdekat seperti ibu bapa, rakan-rakan dan guru-guru dapat mendorong seseorang pelajar untuk terus berjaya sekiranya pelajar itu bermasalah atau menghadapi kesukaran kerana kata-kata dorongan dapat memberi kesan yang mendalam pada seseorang itu. Alexandra Graham Bell, saintis yang telah mereka telefon hampir gagal dan putus asa apabila berturut-turut gagal tetapi dengan sokongan isterinya dan ahli keluarganya,beliau telah berjaya.



Pasti semua manusia ingin meraih kejayan dalam hidup mereka tetapi terdapat juga beberapa faktor atau rintangan yang menghindari seseorang itu dari meraih kejayaan. Salah satu daripadanya adalah kekurangan wang untuk melanjutkan pelajaran, kemudaratan kesihatan dan sebagainya. Ini adalah beberapa ringtangan yang dihadapi oleh beberapa manusia tetapi sekiranya rintangan tersebut tidak dijadikan sebagai alasan untuk mencapai kejayaan, kejayaan pasti dapat diraih. Setelah kita meraih kejayaan, janganlah kita bermegah namun kita harus merendah diri .


Kebanyakan remaja berasa bahawa ibu bapa kurang berkomunikasi dengan anak remaja mereka.Bincangkan.



Komunikasi memainkan peranan penting dalam sesebuah keluarga terutama sekali mereka yang mempunyai anak remaja.Ia kerana komunikasi adalah satu cara untuk berinteraksi antara satu sama lain agar dapat memahami dan mengenali masalah dan perasaan anak remaja tersebut.Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dan salah satunya ialah berkomunikasi dengan anak remaja mereka.Ibu bapa seharusnya mengambil tahu mengenai kegiatan anak remaja mereka dan mengenali rakan-rakan anak mereka.



Kebanyakan remaja berasa lebih selesa berkongsi perasaan dan masalah mereka dengan rakan-rakan mereka.Bagi mereka,ibu bapa hanya mementingkan maruah keluarga tetapi kurang memberi perhatian dengan banyak mengadakan aktiviti atau riada yang boleh merapatkan perhubungan yang lebih intim di antara ibu bapa dan anak remaja.



Ibu bapa bukan sahaja harus memberi didikan yang sempurna tetapi mereka juga harus memberi pelajaran ugama kepada anak remaja mereka,walau bagaimanapun mereka juga harus memastikan anak remaja mereka tidak terlepas dari perhatian mereka akan tetapi janganlah terlalu mengongkong kerana kongkongan yang terlampau terhadap anak remaja boleh membosankan dan melemaskan mereka.Anak-anak remaja sekarang juga inginkan kehidupan yang normal bersesuaian dengan tahap kematangan mereka,malangnya pada masa kini,kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya dan kegiatan harian sehingga mereka tidak mempunyai masa untuk bersama atau berkomunikasi dengan anak remaja mereka atas alasan demi keselesaan hidup kelak nanti.



Oleh hal yang demikian,mereka meletakkan tanggungjawab mendidik anak remaja mereka samaada ke atas pundak guru-guru atau saudara-mara.Kelakuan seperti ini merenggangkan perhubungan antara kedua-dua ibu bapa dan anak remaja mereka.Akibatnya,ramai remaja yang melarikan diri atau melibatkan diri dalam jenayah untuk mendapatkan perhatian.Walau bagaimanapun,untuk menentukan siapa yang bersalah hanya dapat ditentukan berdasarkan kejadian yang telah berlaku.Kadangkala remaja berkenaan berkecil hati dengan kedua-dua orang tuanya kerana merasa diri mereka tidak dipedulikan.Walau bagaimanapun,kebanyakan remaja tidak sedar akan kesilapan dan tingkah laku mereka sendiri.Ada yang tidak mengambil peduli akan teguran dan nasihat orang tua mereka.



Anggapan anak-anak remaja masa kini tentang teguran atau nasihat daripada ibu bapa mereka hanyalah seperti leteran semata-mata.Mereka merasakan 'leteran' itu hanya membuat mereka merasa lebih bosan.Sememangnya,mereka lebih gemar meluangkan masa bersembang dan mengongsi masalah mereka dengan rakan-rakan mereka yang seusia dengan mereka.Kelakuan seperti itu membuat mereka lupa akan tanggungjawab sebagai seorang anak untuk membantu kerja-kerja di rumah.



Pengaruh barat adalah salah satu punca mengapa anak-anak remaja menjadi lalai dengan adat resam budaya mereka.Kebanyakan remaja juga terikut-ikut cara kebaratan bukan hanya dari segi pemakaian namun juga dari segi perwatakan.Akibatnya,mereka menjadi lebih aggresif apabila diberi teguran oleh ibu bapa atau kaum keluarga.Teguran dan nasihat yang diberi kepada mereka seolah-olah hujan jatuh ke pasir.Mereka langsung tidak menghiraukan teguran dan nasihat bak pepatah masuk telinga kiri,keluar telinga kanan.



Sememangnya,anak-anak remaja masa kini tidak menghargai jasa-jasa ibu bapa mereka apabila mereka bergaul bebas di luar rumah.Perbincangan bersama keluarga tidak lagi dihiraukan sesama sekali.Komunikasi di antara ibu bapa dan anak remaja mereka diabaikan dan menjadikan pertalian antara ibu bapa dan anak renggang.Anak-anak remaja seharusnya menghargai pengorbanan ibu bapa mereka kerana ia tidak dapat dirasakan oleh anak-anak yatim.



Komunikasi diantara kedua-dua ibu bapa dan anak remaja mereka bukan hanya berhadapan malahan ini dapat dilakukan dapat menggunakan teknologi terkini seperti menghantar pesanan melalui SMS atau emel.Anak-anak remaja sekurang-kurangnya dapat merasakan bahawa diri mereka dihargai atau diberi perhatian.Mesej pendek seperti "i love you" ataupun "jaga diri baik-baik" membuat seseorang anak remaja itu sedar bahawa ibu bapa beliau tidak mengabaikan dirinya.Bagi ibu bapa yang lebih mementingkan kerjaya dan tidak mengambil tahu tentang tingkah laku anak remaja mereka,mereka seharusnya sedar akan kelalaian mereka yang akan membuat anak remaja mereka hanyut.Anak-anak remaja yang tidak menghiraukan teguran dan nasihat ibu bapa mereka juga harus sedar akan semuanya untuk kebaikan diri mereka sendiri.Ibu bapa yang terlalu mengongkong anak remaja mereka pula harus memberi sedikit kebebasan tetapi harus mengambil tahu siapa rakan-rakan anak remaja mereka dan apa yang dilakukan oleh anak remaja mereka samada di sekolah mahupun kegiatan luar darjah.



Seharus-harusnya,kedua-dua ibu bapa dan anak remaja mempunyai peranan penting masing-masing untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga.Hubungan yang intim dapat menjalinkan sebuah keluarga yang bahagia.Oleh itu,komunikasi amat penting agar dapat memahami antara satu sama lain