Selasa, 14 Julai 2009

Yang Dipertuan Agong

KETUA NEGARA DAN NEGERI

Jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan yang diwarisi turun temurun. Malaysia mengamalkan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri. Pada peringkat Persekutuan, Ketua Negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Pada peringkat negeri pula, ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar juga Yang Dipertua Negeri sementara ketua kerajaan pula ialah Menteri Besar atau Ketua
Menteri.


Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin menandatangani Surat Sumpah Jawatan dan Ikrar Taat Setia pada Istiadat Mengangkat Sumpah memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong XIII pada 13 Disember 2006.
Sumber : Perpustakaan Foto, Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia




MAJLIS RAJA-RAJA

Dalam Perlembagaan Persekutuan urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong adalah terletak pada Majlis Raja-Raja. Dalam sistem kerajaan Persekutuan yang terdapat ramai Raja, sebuah Majlis yang dinamakan Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja.


NASIHAT KERAJAAN

Institusi pemerintahan beraja merupakan sumber kekuasaan dan kewibawaan, pemerintah dan kerajaan. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia kepada negara. Di negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah sistem kerajaan Raja berperlembagaan, kuasa rakyat terletakhak pada Parlimen yang kemudiannya meletakhakkan kuasa eksekutif kepada Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, setiap tindakan pihak berkuasa dilaksanakan atas nama Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat kerajaan.


Peranan Majlis Raja-Raja Dalam Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia







Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-184.
Sumber : Perpustakaan Foto, Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia








PENGENALAN

Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara formalnya hasil daripada perancangan British dalam tahun 1948 sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar). Ianya pertama kali diadakan di Kuala Kangsar pada tahun 1897. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Durbar timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud istana raja. Durbar juga bermaksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja-Raja ataupun gabenor atau wizurai British di India pada masa dahulu. Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama diadakan ialah pada 31 Ogos dan 1 September 1948. Mesyuarat ini buat pertama kali dihadiri oleh semua sembilan orang Raja-Raja Melayu.

FUNGSI

Majlis Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi juga unik kerana Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini. Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan adalah seperti berikut:
(a) memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga;


(b)mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan;


(c)mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;


(d)melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;


(e) memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,
dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.

Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka. Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain).


BUDI BICARA MAJLIS RAJA-RAJA

Ahli-ahli Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa urusan berhubung dengan tugas-tugas yang berikut, iaitu:


(a) memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan;


(b)memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang ditetapkan oleh Perlembagaan;


(c)mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan-sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;


(d)mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan;


(e) perlantikan anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau


(f)pemberian ampun, reprief dan respit, atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.


KEAHLIAN

Semua Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri secara automatik menjadi Ahli Majlis Raja-Raja. Kehadiran adalah mustahak. Jika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, seorang ahli tidak dapat berangkat hadir, maka seorang wakil hendaklah dilantik mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri/Tubuh bagi sesuatu negeri itu. Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi Ahli Majlis Raja-Raja bagi maksud mesyuarat berhubung dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan mengenai keistimewaan Raja-Raja. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah Ahli Majlis Raja-Raja. Baginda berangkat menghadiri mesyuarat pada hari yang kedua sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi oleh Perdana Menteri sebagai penasihat baginda.


PENGERUSI MESYUARAT

Pengerusi bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja adalah dipegang oleh kesemua sembilan Raja Melayu secara bergilir-gilir.


KEKERAPAN MESYUARAT

Mesyuarat lazimnya diadakan tiga kali setahun tetapi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis ataupun tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan juga bilamana berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong atau jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.