Jumaat, 19 Jun 2009

Karangan Jenis Wawancara

TEKNIK MENULIS KARANGAN JENIS WAWANCARA/ PERBUALAN
A. Contoh soalan karangan jenis wawancara/perbualan

i. anda ialah salah seorang sidang redaksi majalah sekolah. Oleh itu, anda ditugaskan untuk menemu ramah pengarah jabatan hutan negeri untuk mendapatkan maklumat tentang kepentingan hutan dan langkah-langkah yang diambil oleh jabatan itu untuk mengekalkan kawasan hutan di negeri anda. Tulis hasil temu ramah itu selengkapnya.

ii. Ketua pengawas sekolah anda telah dianugerahi gelaran “Pelajar Cemerlang” di peringkat daerah pada tahun ini. Selaku ketua pengarang majalah sekolah, anda ditugaskan untuk mewawancara pelajar berkenaan. Tulis wawancara itu. (SPM 1994)

iii. Anda wartawan sebuah akhbar tempatan. Anda diberikan keizinan oleh pihak hospital untuk mewawancara bekas pelumba motosikal haram yang telah lumpuh seluruh badan akibat kemalangan jalan raya. Tulis wawancara anda itu selengkapnya.

iv. Anda telah ditugaskan untuk menemubual seorang tokoh pekerja. Dalam temu bual itu, anda bertanya tentang latar belakang dan pekerjaan tokoh, anugerah-anugerah yang diperolehi, serta cita-cita tokoh tersebut. Tulis temu bual yang berkenaan selengkapnya.

v. Sebelum anda terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, anda telah dipanggil untuk ditemu duga. Dalam temu duga itu, anda telah ditanya tentang usaha-usaha yang boleh anda lakukan untuk memperkenalkan permainan tradisional Malaysia kepada rakan-rakan anda di pusat pengajian dan masyarakat luar negara. Tulis kembali peristiwa temu duga tersebut selengkapnya.

vi. Datuk Salleh Kaman ialah usahawan yang mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang pembinaan. Selaku wartawan majalah ekonomi, anda diberi tugas untuk mewawancara Datuk Salleh Kaman. Isi wawancara itu ialah tentang kegiatannya dalam bidang perniagaan, rahsia kejayaannya, dan rancangannya pada masa depan. Tuliskan wawancara itu selengkapnya.

vii. Sebagai wartawan majalah hiburan, anda telah ditugaskan untuk mewawancara seorang pelakon wanita yang terkenal. Dalam wawancara itu, anda ingin mendapatkan pandangan beliau tentang dunia lakonan, dan masa depan bidang tersebut di Malaysia.

viii. Anda ialah seorang wartawan akhbar tempatan. Anda telah ditugaskan untuk mewawancara salah seorang daripada pendaki Malaysia yang telah berjaya menawan puncak gunung yang tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest pada 23 Mei 1997 yang lalu. Tuliskan wawancara itu selengkapnya.

ix. Sebagai seorang wartawan sebuah majalah sukan, anda dikehendaki mewawancara seorang tokoh sukan tanah air terkenal untuk mendengar pendapat beliau tentang mutu sukan negara kita pada masa ini. Tuliskan wawancara itu selengkapnya.

x. Kepelbagaian kebudayaan yang unik di Malaysia telah menarik perhatian seorang pelancong yang berdiri bersebelahan anda semasa menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan. Pelancong itu berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai budaya-budaya yang terdapat di Malaysia. Tuliskan perbualan yang berlaku antara anda dengan pelancong tersebut.

PETUA DAN PERINGATAN

1. Karangan jenis ini termasuk dalam golongan karangan jenis berformat khusus. Ini bermakna anda perlu menulisnya menurut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

2. Sebagai persediaan, anda perlu mengemas kini pengetahuan anda.

3. Anda mestilah peka terhadap isu-isu semasa dan isu-isu popular yang berlaku, sama ada di dalam negeri mahupun di luar negeri.

4. Isu-isu semasa ini dapat anda perolehi daripada akhbar, majalah, risalah , dan sebagainya. Anda juga boleh mendapatkan maklumat ini daripada media elektronik seperti tv, radio, internet dan sebagainya.

5. Sebaik-baiknya anda simpan keratan-keratan akhbar yang memaparkan isu yang popular ini supaya mudah dibaca sebelum peperiksaan.

6. Penulisan karangan jenis perbualan dan wawancara melibatkan dua pihak sekurang-kurangnya untuk bertukar fikiran tentang sesuatu hal. Oleh sebab itu, perkara dan jalan ceritanya perlulah ditentukan lebih dulu sebelum penulisan dimulakan.

7. Dalam soalan peperiksaan biasanya satu situasi akan diberikan dan anda mestilah menulis dialog atau wawancara dengan berdasarkan situasi tersebut.

8. Dalam penulisan dialog, kedua-dua pihak haruslah saling bertanya dan memberikan pendapat atau pandangan masing-masing.

9. Selain memasukkan pendapat atau pandangan tersebut, anda boleh juga menulis aksi kedua-dua pihak itu dalam kurungan. (aksi tersebut biasanya ditulis dalam karangan jenis dialog atau perbualan sahaja dan bukan dalam karangan jenis wawancara.)

10. Gunakan kata-kata dan ayat-ayat yang mudah dan ringkas serta betul dari segi tatabahasanya.

11. Unsur-unsur kreatif seperti penggunaan kiasan dan peribahasa boleh juga anda masukkan, khususnya dalam karangan jenis perbualan supaya lebih menarik.

Kelemahan calon:

1. Calon menulis pengenalan terlalu panjang dan berbelit-belit sehingga melebihi satu perenggan.
2. Dalam karangan wawancara, calon tidak dapat menguasai ‘cara bertanya’ yang betul.
3. Terdapat calon yang menulis bahagian pertanyaan lebih panjang daripada jawapan tokoh yang ditemu bual.
4.Calon tidak menulis dalam bahasa baku.
5. Calon mengemukakan soalan-soalan yang tidak relevan (tidak penting, atau tidak berkaitan dengan situasi atau tidak berkaitan dengan kehendak soalan).
6. Calon mengemukakan soalan yang bertindih.
7. Orang yang ditemu bual tidak menjawab soalan yang dikemukakan dengan betul.
8. Terdapat keadaan “saling” bertanya dalam karangan wawancara.
9. Tidak menulis karangan mengikut kehendak atau skop soalan.
10. Teknik penulisan yang lemah.

Pengenalan Karangan jenis wawancara dan perbualan.

Contoh pengenalan:

Contoh 1
Baru-baru ini saya telah sempat menebu bual seorang tokoh koperat tempatan yang terkenal iaitu Datuk Tajuddin Ramli untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai perkembangan perniagaan di negara kita. Yang berikut merupakan hasil temu bual saya dengan beliau.

Contoh 2
Sebagai wartawan majalah hiburan ‘Artis’, saya telah diberikan tugas untuk mewawancara saudara Yusof Haslam, seorang pelakon dan pengarah filem yang terkemuka di negara ini. Wawancara ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai perkembangan dunia perfileman di negara kita. Yang berikut ialah hasil wawancara saya dengan beliau.

Contoh 3.
Ketika menyambut Hari Kebangsaan yang lalu, saya telah berkenalan dengan Encik Sumadja dari Indonesia. Beliau ingin mengetahui beberapa perkara yang berkaitan dengan kebudayaan rakyat Malaysia yang dianggap unik. Yang berikut merupakan hasil perbualan kami.

Contoh 4
Sebagai Ahli Jawatan Kuasa Kelab Alam Sekitar sekolah, saya dan 3 orang pelajar lain telah ditugaskan untuk berbincang tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencantikkan sekolah. Yang berikut ialah hasil perbualan kami.

Contoh soalan dan jawapan karangan jenis WAWANCARA

Seorang usahawan muda telah menempa nama dalam perusahaan perabot. Sebagai wartawan sebuah majalah, anda diarahkan untuk mewawancara usahawan yang berkenaan. Isi wawancara itu ialah tentang kegiatannya dalam bidang perusahaan perabot dan rancangan-rancangannya pada masa akan datang. Tulislah wawancara anda itu selengkapnya.

***

Saya telah mendapat arahan daripada ketua editor untuk mewawancara seorang usahawan muda yang telah berjaya menghasilkan perabot-perabot dan krafrangan hingga mendapat pasaran luar negeri. Yang berikut ialah isi wawancara saya dengan usahawan tersebut, iaitu Encik Teo Hing Seng.

Pemberita : Selamat sejahtera, Encik Teo.

Encik Teo : Selamat sejahtera. Silakan duduk.

Pemberita : Terima kasih. Terlebih dahulu rubuan terima kasih saya ucapkan kerana kesudian Encik Teo untuk diwawancara. Bagaimanakah Encik Teo mula melibatkan diri dalam bidang pembuatan perabot dan kraftangan ini?

Encik Teo : Sebenarnya, cita-cita saya ialah menjadi arkitek. Walau bagaimanapun, setelah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni halus dan perabot di Itali, saya terpaksa melupakan cita-cita itu. Setelah menamatkan pengajian, minat saya untuk membuka perniagaan sendiri dalam bidang ini begitu mendalam. Oleh sebab itulah, saya memberanikan diri untuk membuka perniagaan dalam bidang ini.

Pemberita : Bagaimanakah timbulnya minat Encik Teo untuk melibatkan diri dalam bidang ini?

Encik Teo : Pada mulanya saya kurang meminati bidang ini, tetapi setelah mengikuti pengajian dalam bidang ini dan setelah melihat keindahan dan kehalusan pada barang-barang perabot dan kraftangan, saya tertarik untuk mengusahakannya sendiri.

Pemberita : Adakah Encik Teo sendiri yang membuka perniagaan ini?

Encik Teo : Pada mulanya bukan saya seorang saja yang terlibat dalam perusahaan ini. Saya dibantu oleh tiga orang sahabat yang secara kebetulan mempunyai minat yang sama seperti saya. Walau bagaimanapun, selepas setahun hanya tinggal saya seorang yang menguruskan perniagaan ini sepenuh masa. Sahabat-sahabat saya telah membuka perniagaan masing-masing. Kini, perniagaan ini saya miliki sepenuhnya. Saya dibantu oleh lima orang pekerja.

Pemberita : Apakah masalah yang Encik Teo hadapi ketika memulakan perniagaan ini dahulu?

Encik Teo : Masalah utama ialah mendapatkan modal yang secukupnya. Namun begitu, masalah ini dapat saya atasi melalui pinjaman bank. Masalah-masa lain termasuklah persaingan dengan pengusaha perabot yang lain, kesukaran mendapatkan tenaga kerja yang mahir dan kreatif, dan pasaran yang terhad juga. Namun demikian, masalah-masalah tersebut dapat saya atasi secara beransur-ansur.

Pemberita : Saya yakin bahawa banyak orang yang kagum akan kejayaan Encik Teo . apakah rancangan-rancangan Encik Teo pada masa yang akan datang?

Encik Teo : Saya bercadang untuk mengeksport perabot dan kraf tangan yang saya usahakan ini ke luar negeri. Saya bercadang juga untuk mengajak pengusaha-pengusaha perabot dan kraf tangan yang lain bergabung tenaga untuk menjayakan rancangan ini.
Pemberita : Adakah Encik Teo yakin bahawa rancangan ini akan berjaya dan mendapat sambutan daripada masyarakat di luar negeri?

Encik Teo : Ya, saya yakin. Hal ini demikian kerana perabot-perabot yang saya hasilkan adalah daripada kayu-kayan yang bermutu tinggi. Selain itu, saya percaya bahawa seni ukirnya yang halus dan reka bentuknya yang unik akan menarik minat masyarakat luar untuk membeli perabot yang saya usahakan ini.

Pemberita : Selain mengeksport perbot ke luar negeri, apakah rancangan lain yang mungkin dijalankan?

Encik Teo : Saya bercadang juga untuk membuka cawangan kedai perabot di negara-negara Asia, khususnya di Filipina, Brunie Darussalam, Jepun, dan Korea Selatan. Saya bercita-cita juga untuk memperluas pasaran perabot ini hingga ke Amerika syarikat dan negara-negara Eropah.

Pemberita : saya mendapati bahawa Encik Teo mengutamakan perabot yang berbentuk tradisional dan antik. Tidakkah Encik Teo bercadang untuk mengusahakan perabot moden pula?

Encik Teo : Pada masa ini, saya lebih mengutamakan perabot berbentuk tradisional dan antik kerana sambutan yang diberikan untuk perabot-perabot ini sungguh baik. Namun demikian, saya bercadang juga untuk mempelbagaikan reka bentuk perabot tersebut pada masa akan datang.

Pemberita : Akhir sekali, apakah pesanan Encik Teo kepada pembaca majalah ini?

Encik Teo : Saya berharap agar mereka yang meminati bidang ini akan mengusahakannya dengan sungguh-sungguh. Mereka perlu menjadi lebih kreatif juga. Tegasnya, kegigihan seseorang itu akan menentukan kejayaannya dalam apa-apa bidang sekali pun.

Pemberita : Nampaknya setakat ini saja wawancara kita kali ini. Terima kasih sekali lagi kerana Encik Teo sudi meluangkan masa untuk diwawancara.

Encik Teo : Sama-sama.

Wawancara saya dengan Encik Teo berakhir pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Selepas itu, saya pulang ke pejabat untuk menyiapkan rencana tersebut.


dipetik dari http://www.angelfire.com/mi/salleh/wawancara.