Isnin, 7 September 2009

KATA ADJEKTIF


•Ialah perkataan yang menunjukkan sifat atau penerang kepada perkataan yang mendahuluinya.
•Boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat seperti sangat, sungguh, sekali dan sebagainya.
•Terbahagi kepada beberapa bahagian:

  • KATA ADJEKTIF SIFAT

¨Menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama/frasa nama.

¨CERDIK, KUAT, TAKUT, CANTIK, KERAS, LEMBUT, SIHAT, SAKIT, LEMAH, CERGAS, GARANG, UZUR, PINTAR, BERANI
CONTOH AYAT:

1.Senaman boleh menjadikan seseorang itu cergas.

2.Hakim itu sungguh adil.

  • KATA ADJEKTIF WARNA


¨Menunjukkan warna sebagai unsur keterangan sesuatu kata nama.
¨PUTIH, BIRU, COKLAT, KELABU, JINGGA, MERAH, UNGU, HITAM, HIJAU, KUNING, MERAH JAMBU,

CONTOH AYAT

  1. Baju hijau itu kepunyaan kakak.
  2. Rambutnya hitam berkilat.

  • KATA ADJEKTIF BENTUK


¨Menerangkan rupa bentuk sesuatu kata nama.
¨PANJANG, SEGI EMPAT, SEGI TIGA, BUJUR, LEPER, PIPIH, LURUS, BENGKOK, LONJONG, BULAT, BUNCIT, BUNDAR,

CONTOH AYAT

  1. Pinggan bujur itu telah retak.
  2. Kotak hadiah itu berbentuk bulat.

  • KATA ADJEKTIF UKURAN


¨Menunjukkan ukuran sebagai unsur keterangan kata nama.
¨KATIK, TINGGI, PANJANG, PENDEK, NIPIS, TEBAL, KERDIL, KECIL, BESAR, RENDAH, SEMPIT,

CONTOH AYAT

  1. Menara yang dibina itu amat tinggi.
  2. Walaupun Azman rendah, tetapi dia lincah bermain bola sepak.

  • KATA ADJEKTF WAKTU

Menunjukkan maksud masa sebagai unsur keterangan.
¨BAHARU, LAMA, SEGERA, LEWAT, SUNTUK, SEBENTAR, SEMENTARA, SEKETIKA, BARU, CEPAT, LAMBAT, SILAM

CONTOH AYAT

  1. Usahlah dikenangkan lagi peristiwa silam.
  2. Sehari suntuk dia mengecat rumahnya.

  • KATA ADJEKTIF JARAK


¨Menunjukkan maksud jarak atau penerang kepada kata nama.
¨JAUH, DEKAT, HAMPIR, RAPAT, JARANG, PERTENGAHAN, NYARIS

CONTOH AYAT

  1. Rumahnya jauh di kawasan pendalaman.
  2. Mereka duduk dekat dengan tingkap.

  • KATA ADJEKTIF CARA


¨Menunjukkan keadaan atau ragam sebagai unsur penerang kata nama.
¨CEPAT, DERAS, LAMBAT, LONGLAI, PANTAS, LINCAH, GOPOH, KASAR, PERLAHAN, HEBAT, SERING

CONTOH AYAT

  1. Pemain bola baling itu sungguh lincah.
  2. Air sungai itu mengalir deras.

  • KATA ADJEKTIF PERASAAN


¨Menunjukkan maksud perasaan sebagai unsur keterangan kata nama.
¨RINDU, SAYANG, BENCI, MARAH, MALU, SEDIH, PILU, GEMBIRA, KECEWA,

CONTOH AYAT

  1. Azie rindu akan ibunya di kampung.
  2. Kamal malu hendak menegur gadis yang diminatinya itu.

  • KATA ADJEKTIF PACAINDERA


¨Menunjukkan maksud sifat, keadaan atau rasa yang dapat dikesan oleh pacaindera.
¨LAZAT, MERDU, MASAM, TAWAR, NYARING, PAYAU, KESAT, MOLEK, KELAT, BISING, PAHIT, SEDAP, MANIS, BUSUK, HANGIT, WANGI, HAMIS, LICIN, KESAT, PANAS, SEJUK

CONTOH AYAT

  1. Suara hamidah sungguh merdu.
  2. Bau minyak wangi itu sungguh harum.

KESALAHAN UMUM

Kesalahan menggunakan kata adjektif yang berimbuhan ter- sebagai predikat ayat. kata adjektif yang berimbuhan ter-boleh berfungsi sebagai penerang tetapi tidak boleh berfungsi sebagai predikat ayat.

contoh

  • Rumah itu tercantik. (salah)
  • Rumah itu paling cantik. (betul)
  • Meja makan itu terpanjang. (salah)
  • Meja makan itu sangat panjang. (betul)

Kesalahan yang kedua apabila menambahkan kata penguat kepada kata adjektif yang telah sedia berimbuhan ter-.Imbuhan ter-telah sedia menyatakan maksud darjah penghabisan. Oleh itu, kata penguat tidak diperlukan untuk menguatkan maksud kata adjektif tersebut.

contoh

  • Pelajar yang terpandai sekali itu ialah anak seorang guru sekolah. (salah)
  • Pelajar yang terpandai itu ialah anak seorang guru sekolah. (betul)
  • Gunung yang paling tertinggi di Malaysia ialah Gunung Kinabalu. (salah)
  • Gunung yang tertinggi di Malaysia ialah Gunung Kinabalu. (betul)

Kesalahan yang ketiga, tidak meletakkan kata sendi nama selepas frasa adjektif apabila diperluas.

contoh

  • Nasir amat rindu neneknya di kampung. (salah)
  • Nasir amat rindu akan neneknya di kampung. (betul)
  • Maria sangat sayang anak patungnya itu. (salah)
  • Maria sangat sayang akan anak patungnya itu. (betul)

Rabu, 2 September 2009

DIET SEMASA RAMADHAN

SEPANJANG bulan Ramadan, diet atau pemakanan kita sepatutnya tidak berbeza dengan begitu ketara berbanding diet normal. Jika boleh, biarlah ia seringkas mungkin.

Diet yang dimaksudkan seharusnya diet yang sama seperti kita menjaga berat badan normal - berat badan tidak turun dan tidak juga naik.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang mempunyai berat badan berlebihan, Ramadan merupakan masa yang ideal untuk mengembalikan semula berat badan normal.

Mengambil kira tempoh menahan diri daripada makan dan minum yang agak panjang iaitu kira-kira 14 jam mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari, adalah disarankan anda mengambil makanan yang lambat dihadamkan yang mengandungi fiber atau serat berbanding makanan yang mudah dicernakan.

Makanan yang lambat dihadam boleh bertahan sehingga lapan jam lamanya manakala makanan yang mudah dicernakan yang bertahan kira-kira tiga ke empat jam sahaja.

* Makanan yang lambat dihadam adalah makanan yang mengandungi bijirin dan biji-bijian seperti barli, gandum, oat, milet, suji, kekacang, lentil (dari keluarga pokok kekacang legum), tepung mil penuh, beras kampung dan lain-lain (dipanggil karbohidrat kompleks)

* Makanan yang cepat dibakar dan mudah cerna merupakan makanan yang mengandungi gula, tepung gandum dan lain-lain (dipanggil karbohidrat ditapis)

* Makanan berserat pula adalah makanan yang mengandungi bran (kulit biji-bijian yang dikisar dan diayak daripada tepung), gandum penuh, bijirin dan biji-bijian, sayur-sayuran seperti kekacang hijau, kacang pis, lada paprika, sayur labu air, tepung kasar atau bertepung, bayam dan lain-lain herba seperti daun ubi pokok bit yang kaya dengan zat besi, buah-buahan bersama kulit, buah kering terutamanya aprikot, buah ara, prun, badam dan lain-lain.

Makanan yang diambil hendaklah seimbang, mengandungi makanan daripada setiap kumpulan makanan iaitu buah-buahan, sayur-sayuran, daging/ayam/ikan, roti/bijirin/biji-bijian seperti beras, jagung, gandum dan lain-lain serta produk tenusu.

Makanan kering adalah tidak sihat dan perlu dihadkan kerana ia boleh menyebabkan sakit perut kerana makanan tidak hadam, pedih hulu hati dan masalah berat badan.

Pemakanan di bulan Ramadan

Berdasarkan amalan Rasulullah s.a.w. serta penyelidikan meluas yang telah dilakukan, berikut adalah pelan pemakanan yang disarankan:
Roti/bijirin/nasi, pasta, kumpulan biskut dan biskut kering: 6 hingga 11 hidangan sehari

Daging/kekacang/kumpulan buah kekeras: 2 hingga 3 hidangan sehari

Susu dan kumpulan produk tenusu: 2 hingga 3 hidangan sehari

Kumpulan sayur-sayuran: 3 hingga 5 hidangan sehari

Kumpulan buah-buahan: 2 hingga 4 hidangan sehari

Gula tambah seperti gula kasar, sukrosa: secara berpatutan

Lemak tambah, minyak politaktepu: 4 hingga 7 sudu besar

Berbuka

Tiga biji tamar, satu hidangan jus (4 auns) dan semangkuk sup sayur-sayuran bersama sedikit pasta atau biskut

Semasa berbuka, badan memerlukan sumber tenaga yang tersedia dengan mudah dalam bentuk glukosa bagi setiap sel hidup khususnya otak dan sel-sel saraf, pada kadar segera.

Kurma dan jus merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan gula. Dalam kuantiti seperti di atas, kurma dan jus adalah memadai untuk mengembalikan semula glukosa darah rendah ke tahapnya yang asal.

Jus dan sup membantu mengekalkan keseimbangan cecair dan mineral di dalam badan.

Diet yang tidak seimbang dan terlalu banyak hidangan manis yang ditambah dengan gula bukanlah sesuatu yang sihat untuk kesihatan anda.

Makan malam

Ambil makanan daripada kesemua kumpulan makanan di bawah:

Daging/kumpulan kekacang: Daging dan kekacang merupakan sumber yang baik untuk protein, mineral dan vitamin tertentu. Kekacang juga menjadi sumber serabut diet yang baik.

Roti/kumpulan bijirin: Kumpulan ini menyediakan sumber karbohidrat kompleks yang baik yang menjadi sumber tenaga yang baik dan menyediakan sedikit protein, mineral dan serabut diet.

Kumpulan susu: Bagi mereka yang tidak gemarkan susu boleh mencuba produk- produk yang melalui proses penapaian seperti susu mentega (cecair yang tinggal sesudah susu jadi mentega) dan yogurt.Susu dan produk tenusu merupakan sumber protein dan kalsium yang penting untuk penyenggaraan tisu-tisu badan serta beberapa fungsi fisiologi.

Kumpulan sayur-sayuran: Sayur-sayuran adalah sumber yang baik bagi serabut diet, vitamin A, karotena dan lain-lain bahan kimia yang berasal dari tumbuh- tumbuhan yang antioksidan.Ini sangat membantu dalam mencegah kanser, penyakit-penyakit kardiovaskular (jantung) dan banyak masalah kesihatan lain.

Kumpulan buah-buahan: Makan 1 hingga 2 hidangan sitrus dan/atau buah-buahan lain.Makan buah-buahan sebagai makanan yang terakhir selepas makan malam bagi membantu pencernaan dan menghindari gangguan-gangguan gastrousus.Buah-buahan sitrus jenis limau menyediakan anda dengan vitamin C. Buah- buahan satu lagi sumber serabut diet yang bagus.Buah-buahan dan buah kekeras campuran boleh dimakan sebagai snek selepas makan malam atau solat tarawih ataupun sebelum tidur.

Sahur

Makanlah sahur yang ringan sahaja. Makan gandum penuh atau bijirin oat atau roti gandum penuh sebanyak satu ke dua hidangan bersama secawan susu. Satu hidangan bersamaan dengan satu auns.

Tambahkan dua hingga tiga camca teh minyak zaitun atau lain-lain lemak monotaktepu atau politaktepu di dalam salad atau bijirin.Makan satu hingga dua hidangan buah sebagai makanan terakhir.

Cadangan tambahan

Jangan lupa untuk memberus gigi. Beruslah gigi anda sebelum tidur dan selepas bersahur. Berus lebih dua kali atau berapa kali yang anda suka asalkan praktikal.

Individu yang mempunyai berat badan normal mahu pun berlebihan tidak sepatutnya menambah berat badan mereka.Bagi mereka yang mengalami masalah kegemukan, Ramadan memberikan peluang yang baik untuk menurunkan berat badan.

Sementara itu, bagi yang kurus atau mempunyai berat badan yang kurang mahupun mereka yang berat badannya normal, tidak digalakkan mengalami penurunan berat badan sepanjang bulan ini.

Menganalisis komponen pemakanan dan tenaga diet menggunakan jadual komposisi makanan atau perisian komputer adalah sangat berguna dalam merancang diet yang bersesuaian.Adalah disarankan agar setiap orang melakukan senaman fizikal ringan seperti regangan dan berjalan.

Penting untuk mengikuti amalan pengurusan masa yang baik untuk beribadat, tidur, bekerja dan melakukan aktiviti fizikal atau senaman.

Ringkasnya, pengambilan diet yang seimbang adalah sangat penting untuk mengekalkan kesihatan yang baik, gaya hidup aktif dan memperoleh manfaat sepenuhnya dari keberkatan Ramadan.

Elakkan
* Makanan kering dan berlemak

* Makanan berempah

* Pengambilan makanan yang terlalu manis dan tinggi kandungan gula baik gula kasar mahupun sukrosa seperti yang terdapat di dalam gula tebu dan gula bit

* Makan secara berlebihan terutamanya pada waktu sahur* Terlalu banyak minum teh semasa bersahur. Teh boleh menyebabkan anda membuang air besar dengan lebih kerap sekali gus menyingkirkan garam mineral berharga yang diperlukan oleh badan pada siang hari

* Minuman berkafeina seperti kola, kopi dan teh. Kafeina boleh meninggalkan kesan diuretik (kerap membuang air kecil).Kurangkan pengambilan minuman tersebut secara beransur-ansur dalam tempoh dua, tiga hari sebelum puasa bermula.Pengurangan kafeina secara mengejut boleh mencetuskan sakit kepala, perubahan mood dan menyebabkan seseorang menjadi lekas marah dan meradang.

* Merokok. Merokok merisikokan kesihatan. Jika anda tidak boleh berhenti merokok, alternatifnya anda mungkin boleh mengurangkannya secara beransuransur beberapa minggu menjelang Ramadan.Merokok memberikan kesan negatif terhadap penggunaan pelbagai jenis vitamin, metabolit dan sistem-sistem enzim di dalam tubuh badan.Lagipun, merokok memudaratkan kesihatan dan anda sepatutnya berhenti terus daripada tabiat buruk itu.

Makan

* Karbohidrat kompleks semasa sahur. Dengan cara itu, makanan boleh bertahan lebih lama dan anda pun kurang berasa lapar

* Haleem iaitu sajian India dan Pakistan menyerupai sup yang diperbuat daripada gandum, daging, lentil dan rempah-ratus merupakan sumber protein yang sangat baik dan lambat dibakar

* Makan sayur-sayuran yang memadai semasa menjamah hidangan. Akhiri hidangan dengan memakan buah-buahan.

* Buah kurma merupakan sumber gula, serta, karbohidrat, kalium dan magnesium yang baik

* Badam kaya dengan protein dan serat serta, kurang lemak.

* Pisang adalah sumber yang baik bagi kalium, magnesium dan karbohidrat.

Minum

* Minum sebanyak mungkin air atau jus buah-buahan di antara berbuka dengan waktu tidur bagi membolehkan tubuh anda menyesuaikan diri dengan tahap cecair.Ia juga bagi mengelakkan insiden dehidrasi iaitu kekurangan air di dalam badan.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

Jumaat, 28 Ogos 2009

INFLUENZA LIKE ILLNESS (ILI) (SAKIT MENYERUPAI SELESAM - DEMAM, BATUK DAN SAKIT TEKAK)

Amalan yang perlu dilakukan di rumah bagi pesakit yang mempunyai
gejala-gejala Influenza Like Illness.

Semasa di rumah, pesakit perlu duduk berasingan daripada semua anggota keluarga terutama sekiranya ahli keluarga mempunyai risiko dan masalah perubatan berikut:
  1. Umur melebihi 65 tahun dan kurang dari 5 tahun.
  2. Wanita mengandung.
  3. Kegemukan / Obesiti.
  4. Pesakit paru-paru kronik, asma, diabetes, kegagalan buah pinggang, HIV/ AIDS, kanser dan lemah jantung.

Mengamalkan etika batu dan kebersihan diri seperti:

  1. Tutup mulut dan hidung dengan tisu, tuala dan sapu tangan apabila batuk dan bersin.
  2. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
  3. Basuh tangan dengan air dan sabun terutama selepas batuk atau bersin dan juga selepas menyentuh hidung, mulut dan mata.
  4. Elakkan berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan lain-lain.
  5. Permukaan lantai dan meja yang tercemar oleh cecair hidung atau mulut perlu dibersihkan.

Pesakit disaran menggunakan penutup hidung dan mulut terutamanya apabila berhubung dengan orang lain.

Pesakit disarankan agar mengurangkan pertemuan dengan rakan atau saudara-mara.

PENILAIAN SENDIRI DI RUMAH (HOME ASSESSMENT TOOL)

Pesakit dan ahli keluarga perlu SEGERA mendapatkan rawatan di hospital atau klinik yang berdekatan sekiranya terdapat tanda atau gejala berikut:

  1. Kesukaran bernafas seperti sesak nafas, pernafasan yang laju daripada biasa atau tanda-tanda kebiruan di bibir.
  2. Batuk berdarah atau terdapat campuran darah dalam kahak.
  3. Sakit dada yang berterusan.
  4. Cirit-birit atau muntah yang berterusan.
  5. Demam berterusan melebihi 3 hari.
  6. Kelakuan ganjil, kecelaruan, kurang bertindak balas dan sawan
  7. Berasa pening ketika berdiri.
  8. Kurang buang air.

RUJUKAN : JABATAN KESIHATAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN

INFLUENZA A H1N1

  • Apakah itu penyakit Influenza A H1N1?

Influenza A H1N1 adalah sejenis penyakit berjangkit ayng disebabkan oleh sejenis virus baru. Virus ini terhasil dari mutasi gene virus influenza babi, burung dan manusia.

  • Apakah tanda dan gejala penyakit ini?

Gejala awal jangkitan ini adalah seperti demam, batuk, sakit kepala, sakit badan, sakit tekak, selesema dan kadangkala muntah-muntah atau cirit-birit.

  • Bagaimana kita boleh dijangkiti?

Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin. Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan atau tersebar ke udara. Seterusnya, seseorang akan dijangkiti sama ada melalui pernafasan, melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

  • Apakah nasihat kepada orang yang dijangkit virus ini?
  1. SEGERA dapatkan rawatan doktor.
  2. Untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain, tutup mulut dengan tisu atau sapu tangan apabila batuk dan bersin. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.
  3. Tinggal di rumah dan hadkan hubungan dengan orang lain. Elak menyentuh mata, hidung dan mulut.
  4. Elakkan daripada pergi ke tempat awam yang sesak.
  5. Jangan gunakan pengankutan awam untuk menggelakkan jangkitan kepada orang lain.
  • Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?

Selagi mereka mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga 7 hari dari tarikh mula mengalami gejala penyakit ini. Kanak-kanak boleh menyebarkan penyakit ini bagi tempoh yang lebih lama.

  • Bagaimana anda boleh menghindari jangkitan penyakit ini?
  1. Jauhi orang yang nampak tidak sihat dan menghidapi demam dan batuk.
  2. Kerap cuci tangan dengan air dan sabun.
  3. Elak menyentuh muka, khususnya hidung dan mulut untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan.
  4. Jika anda berada di tempat yang dilanda penyakit ini, elakkan berada di tempat awam yang sesak.
  5. Ketahui situasi semasa penyakit ini dan langkah-langkah pencegahan yang perlu di ambil.
  6. Amalkan cara hidup sihat. Dapatkan tidur yang cukup, makan secara sihat dan lakukan aktiviti fizikal.
  • Apakah rawatan bagi Influenza A H1N1?

Antiviral ini digunakan untuk memberi rawatan yang berkesan dan tidak memberi perlindungan sepertimana vaksin.

  • Apakah perbezaan antara "kes berkemungkinan dijangkiti"dan "kes disahkan"?

Kes yang "berkemungkinan dijangkiti" mempunyai gejala-gejala selesema seperti demam, batuk, sakit kepala, lesu dan sama ada positif kepada ujian Influenza A atau mempunyai hubungan dengan kes lain yang "berkemungkinan dijangkiti" atau kes yang telah disahkan.

Kes yang disahkan adalah kes yang telah disahkan positif melalui ujian makmal.

Selasa, 25 Ogos 2009

Latihan Bahasa Melayu

Isi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai.

  1. Fuad menangis sambil menahan kesakitan apabila kakinya _______________ serpihan kaca.
  2. Cikgu Azlina disayangi oleh murid-muridnya kerana beliau _____________ dengan senyumannya.
  3. Ramalan tentang gempa bumi yang akan berlaku di kawasan kampng itu menyebabkan para penduduk _________________ ke kawasan yang selamat.
  4. Perahu nelayan itu terumbang-ambing apabila dipukul oleh ombak yang ________________.
  5. Para pelumba lari itu sedang berusaha _________ antara satu sama lain untuk memenangi perlumbaan itu.
  6. Mulut bomoh itu _______________ membaca jampi serampah semasa mengubati pesakitnya.
  7. " Sekarang tahulah dia bahawa batu itu tidak ___________ olehnya!" kata Hisham kepada Zainal.
  8. Angin yang bertiup dengan ______________itu telah menyebabkan sebatang pokok kelapa tumbang.
  9. Sejak_____________ hari ini polis trafik memantau kesesakan lalu lintas dari udara.
  10. Dua ___________________ jalna di kawasan lereng bukit itu telah ditutup kerana tanah runtuh.
  11. Perasaannya ______________ apabila melihat rumah banglonya musnah dalam kebakaran.
  12. Dalam keadaan genting itu, Encik Azlan ___________________ memikirkan misteri kehilangan anak lelaki tunggalnya yang ghaib secara tiba-tiba.
  13. Rumah tangga pasangan itu _________________ setelah orang ketiga campur tangan dalam urusan mereka.
  14. Farid berasa _____________ apabila melihat ketinggian jambatan gantung itu.
  15. Para tamu yang ______________ majlis perasmian syarikat baru itu sedang bergambar.
  16. Rama-rama itu sedang ____________ madu bunga.
  17. Emak _____________ di ruang tamu sambil membebel semasa menunggu abang pulang kerana malam sudah larut.
  18. _____________ logo baru syarikat gergasi itu telah mendapat liputan meluas kerana rekaannya amat unik dan berteknologi tinggi.
  19. Semasa __________________ Jepun di Tanah Melayu, banyak rakyat hidup menderita kerana kekurangan makanan.
  20. Yang di-Pertuan Agong _____________ pingat keberanian kepada pegawai polis yang berjaya menumpaskan sindiket penculikan itu.
  21. Semua penduduk di Malaysia diseru agar sentiasa menjaga ___________ demi kesejahteraan negara.
  22. Bunyi paluan kompang yang ________________ itu menandakan pengantin lelaki telah tiba.
  23. Semua wartawan ____________ ke arah atlet yang berjaya meraih pingat emas dalam temasya SUKMA 2008.
  24. Sikap Azlina yang suka _______________ menyebabkan dia kehilangan ramai kawan.
  25. Ubat itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai kerana sangat _____________.
  26. Akhirnya kami berjaya _____________ tugas yang berat itu.
  27. Beliau telah menang dalam pilihanraya itu dengan mendapat _____________ undi.
  28. Peninju itu menerima ________________ yang bertubi-tubi daripada lawannya.
  29. Azmir sering ____________________ seorang diri semenjak ayahnya meninggal dunia.
  30. Pak Mat dikatakan ____________________ dilambung ombak sebelum hilang daripada penglihatan.

Jumaat, 21 Ogos 2009

KERANAMU MALAYSIA

Buruh, nelayan dan juga petani
Gaya hidup kini dah berubah
Anak-anak terasuh mindanya
Lahir generasi bijak pandai


Pakar IT, pakar ekonomi
Jaguh sukan dan juga jutawan
Berkereta jenama negara
Megah menyusur di jalan raya

Alam cyber teknologi terkini
Kejayaan semakin hampiri
Biar di kota ataupun desa
Kita semua pasti merasa bangga

Keranamu kami mendakap tuah
Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara

Keranamu kami bebas merdeka
Keranamu myawa dipertaruhkan
Keranamu rela kami berjuang
Demi bangsa kedaulatan negara

( ulang dari mula )
Keranamu Negara Malaysia
Malaysia...
Terima kasih Malaysia !

KERANAMU MALAYSIA