Selasa, 23 Jun 2009

Latihan Bahasa Melayu Tingkatan 2

Bahagian A :
Pemahaman (15%)

Baca puisi di bawah dengan teliti dan jawab soalan-soalan berikutnya.

Pantun Perpisahan

Hari ini menugal jagung,
Hari esok menugal jelai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.

Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi;
Hari mana bulan yang mana,
Dapat kita bertemu lagi.

Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati mana kuburnya.

Batang selasih permainan budak,
Berdaun sehelai dimakan kuda;
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga.

Orang Acheh sedang sembahyang,
Hari Jumaat tengah hari;
Pergilah kasih pergilah sayang,
Pandai-pandai menjaga diri.

Mana Manggung mana Periaman,
Mana batu kiliran taji;
Tinggal kampung tinggal halaman,
Tinggal tepian tempat mandi.

Bintang Barat terbit petang,
Bintang Timur terbit pagi,
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur ketemu lagi.

(Dipetik daripada Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa, Tingkatan 2)


1. Mengapakah pengarang mengatakan bercerai kasih bertalak tidak, seribu tahun kembali juga?
A. tidak akan meninggalkan kecuali diminta atau ditinggalkan.
B. suatu masa nanti, akan berjumpa juga kalau ada jodoh.
C. walaupun lama berpisah, akan bertemu juga.
D. kalau izinkan akan bertemu juga.

2. Nilai yang terdapat dalam rangkap keempat kumpulan pantun ini ialah ___________.
A. keberanian.
B. kesyukuran
C. baik hati.
D. kesetiaan

3. "Hari ini kita berkampung".
Apakah gaya bahasa frasa ini?
A. inversi
B. asonansi
C. metafora
D. aliterasi

4. Pengajaran yang terdapat dalam rangkap kelima pantun ini ialah______________.
A. kita mestilah setia pada janji.
B. kita mestilah meninggalkan orang yang disayangi untuk mencari rezeki.
C. kita mestilah pandai menjaga diri apabila merantau ke tempat orang.
D. kita mestilah merantau untuk kebaikan diri kita dan keluarga.

5. Unsur gaya bahasa yang terdapat dalam rangkap pertama, keenam dan ketujuh
ialah___________.
A. metafora
B. simile.
C. anafora
D. peribahasa

Baca sajak di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Sajak “ Mata Ayah”

Kujabat mesra tangan ayah
urat-urat daging-daging tua keras terasa
mataku tersenyum, matanya menyapa
anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku
kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang disisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

6. Mengapakan bapa penyajak menjemputnya pulang?
A. kerana bapa terlalu rindu akan penyajak.
B. kerana bapa menghidap penyakit yang serius.
C. kerana bapa ingin meminta penyajak untuk membantunya di sawah.
D. kerana bapa mahu penyajak menikmati beras yang baru dituai.

7. Apakah perasaan bapa penyajak ketika menyambut kepulangan penyajak?
A. gembira.
B. terharu
C. bersedih
D. biasa-biasa saja.

8. Frasa bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang merupakan gaya
bahasa__________________.
A. metafora
B. simile
C. personifikasi.
D. peribahasa

9. Pernyataan yang manakah yang tidak benar tentang bentuk sajak Mata Ayah?
A. bentuknya bebas.
B. setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
C. rima akhirnya tidak terikat dengan rima akhir puisi tradisional.
D. dua baris pertama setiap rangkap ialah pembayang maksud.

10. Yang berikut merupakan pengajaran yang terdapat dalam sajak ini, kecuali____
A. kita perlulah mengamalkan nilai sayang-menyayangi dalam keluarga sendiri.
B. ibu bapa mestilah meminta pertolongan daripada anak-anak dalam semua
perkara.
C. kita mestilah mengenang jasa dan pengorbanan kedua-dua orang tua.
D. kita digalakkan supaya menyembunyikan penderitaan yang ditanggung
daripada pengetahuan orang lain.


Baca syair di bawah dengan teliti. Kemudian , jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Syair Pesanan ibu

Dengarlah anak ibu berpesan,
Lengkapkan diri dengan pelajaran,
Hanyalah itu jadi bekalan,
Untuk hidup di masa depan.

Ilmu itu pelindung diri,
Seperti kebun berpagar duri,
Seperti sinar intan baiduri,
Itulah tanda orang jauhari.

Hidupmu kini di masa remaja,
Bagaikan permata amat berharga,
Jangan jatuh ke lembah hina,
Nanti menyesal tidak berguna.

Kalau hidup terasa susah,
Sering berhadapan dengan masalah,
Hadapi dengan hati yang tabah,
Jangan cepat resah gelisah.

Syaitan menggoda bertambah gundah,
Jangan mengambil jalan yang mudah,
Jangan sekali mencuba dadah,
Kalau terjerat sesal tak sudah.

Jika masa sudah terbuang,
Perginya tidak akan berulang,
Di hari tua sesal mendatang,
Mengingatkan waktu yang telah hilang.

Dunia bagai lautan dalam,
Gelombang besar karangnya tajam,
Di situ banyak kapal tenggelam,
Ramailah insan yang telah karam.

Ingatlah wahai anakku sayang,
Tanah indah pusaka moyang,
Jangan terlepas ke tangan orang,
Sedangkan kita miskin terbuang.

11. Yang berikut merupakan pesanan ibu kepada anaknya, kecuali _________
A. sentiasa tabah apabila berhadapan dengan masalah.
B. sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
C. sentiasa berdoa agar dapat hidup lebih lama.
D. sentiasa menggunakan masa dengan baik.

12. Mengapakah golongan remaja dinasihatkan supaya menjaga tingkah laku?
A. agar sentiasa dipandang tinggi oleh rakan-rakan.
B. agar dianggap sebagai permata yang amat berharga.
C. agar tidak tersalah langkah sehingga terjerumus dalam perkara yang tidak baik.
D. agar tidak berdepan dengan masalah seperti orang dewasa.

13. Bagaimanakah cara untuk menangani sebarang masalah?
A. bergaul dengan orang yang peramah.
B. menghadapinya dengan hati yang tabah.
C. mengingati kembali peristiwa yang lalu.
D. mengasingkan diri daripada orang lain.

14. Yang berikut merupakan perkara-perkara yang perlu dijauhi oleh para remaja dalam
syair di atas, kecuali
A. membuang masa
B. menjual negara.
C. mengkhianati rakan.
D. menagih dadah.

15. Apakah amanat nenek moyang yang harus dipertahankan?
A. sentiasa merantau ke negara orang
B. sentiasa mencari harta kekayaan.
C. mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh.
D. melupakan pesanan orang tua.

Bahagian B : Tatabahasa

Kata Nama Am dan Kata Nama Khas (15%)
Baca petikan di bawah dan kemudian senaraikan kata nama am dan kata nama khas pada kertas jawapan anda.

Ramai orang kagum dengan perkembangan pesat Kota Kinabalu yang dahulunya terkenal dengan nama Jesselton iaitu sebuah bandar yang turut musnah dalam Perang Dunia Kedua. Kini, bandar yang berusia 36 tahun dan menjadi ibu negeri Sabah itu adalah salah sebuah bandar yang terbesar dan termakmur di Malaysia. Sama ada anda pergi ke Kota Kinabalu kerana bertugas atau melancong, anda pasti dapat melihat semua kawasan dalam satu hari. Sebaliknya, jika anda ingin menikmati kehidupan sebenar bandar ini, anda perlu mengorbankan lebih banyak masa untuk mengkajinya. Untuk menikmati keindahan bandar Kota Kinabalu, anda boleh melihat dari Bukit Isyarat. Dari bukit itu, anda bukan sahaja dapat melihat bandarnya tetapi juga kawasan pelabuhannya termasuk beberapa buah pulau lain seperti Pulau Sapi, Pulau Gaya dan Pulau Manukan.


Kata Ganti nama diri (10%)

1. “Usahlah ________ berlengah-lengah lagi kerana kita sudah kesuntukan masa,”
nasihat urus setia kepada peserta ekspedisi itu.
A. kalian C. kami
B. engkau D. mereka

2. Doktor mengesahkan bahawa ___________ keracunan makanan.
A. patik C. dia
B. ia D. -nya.

3. “_________akan usahakan agar dapat dicari dukun yang boleh mengubati tuanku
permaisuri” kata Bendahari kepada Sultan.
A. Patik C. Tuanku
B. Hamba D. Beta

4. “Saya hendak ________ batalkan temu janji saya dengan Datuk Amir,”
kata Datuk Faudzi kepada setiausahanya.
A. engkau C. beliau
B. awak D. tuan

5. Pesanan ibu sentiasa ________ingat.
A. mu- C. nya-
B. ku- D. kau-

6. “_________ suka mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah pada waktu
petang,” kata Dollah.
A. Mereka C. Dia
B. Kalian D. Saya

7. “Sesungguhnya ______ amat berbangga dengan kemajuan dan kemakmuran negeri ini,”
titah Sultan Iskandar.
A. patik C. beta
B. hamba D. saya

8. Menteri Pendidikan akan tiba pada pukul tiga petang. ________ akan merasmikan
pembukaan dewan ini.
A. Patik C. Beliau
B. Hamba D. Kalian


9. “________ akan menyiapkan kerja-kerja yang terbengkalai tempoh hari secepat
mungkin,” kata buruh-buruh itu.
A. Kita C. Mereka
B. Kami D. Dia

10. “ ________ akan pergi ke Pulau Pinang minggu depan,” kata Azman kepada anak-
anaknya.
A. Awak C. Kita
B. Baginda D. Beliau

Kata Ganti Nama Tanya (10%)
Isi tempat kosong dengan kata ganti tanya yang sesuai.

1. “__________ agaknya ekspedisi kita akan sampai ke kemuncak gunung?” tanya
Desmond.

2. Di _________ letaknya Gunung Kinabalu?

3. Tingginya bangunan itu _________?

4. _______ suratkhabar itu dikatakan sebagai alat sebaran yang penting?

5. ___________ boleh terjadi kebakaran itu?

Kata Ganti Nama Tak Tentu (6%)

1. “Antara kami tiada ___________ yang perlu diragui, hanya sekadar kawan biasa,”
terang Encik Zulkaria kepada isterinya.
A. siapa-siapa C. apa-apa
B. bila-bila D. mana-mana

2. Kemudahan-kemudahan awam yang disediakan di negara ini boleh digunakan
oleh________ sahaja.
A. bila-bila C. apa-apa
B. sesiapa D. mana-mana

3. Suhaila kegelisahan kerana ________ masa sahaja kesalahannya akan terbongkar.
A. bila-bila C. siapa-siapa
B. apa-apa D. mana-mana

4. “ Sila pilih ________ saja kuih yang awak mahu,” kata Kasim kepada Rosli.
A. mana-mana C. sesiapa
B. siapa-siapa D. bila-bila

5. Bolehkah beg itu diletakkan di ________ sahaja dalam bilik itu?
A. mana-mana C. siapa-siapa
B. bila-bila D. apa-apa

6. Tidak ada ___________ di dalam dewan itu.
A. mana-mana C. siapa-siapa
B. bila-bila D. apa-apa

Simpulan Bahasa (10%)
Lengkapkan ayat di bawah dengan simpulan bahasa yang sesuai.

bawa alamat bidan terjun
singkat akal tangkap muat
perang dingin lapang dada
baik sangka mati kutu
langkah bendul tangkai jering
berbalik hati salah adat
membanting tulang tumbuk rusuk
batu loncatan jantung hati


1. Sikap Zaidun yang suka ___________ untuk mendapatkan sesuatu tender menyebabkan
dia ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah.

2. Perasaan _________ perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia untuk mengekalkan
keamanan dan kedamaian negara.

3. Mei Lan seorang yang _________ kerana dia tidak pernah membelanja kami minum
walaupun sekali.

4.Nathan membuat kerja rumah yang diberikan oleh gurunya dengan sekadar ________
sahaja menyebabkan semua jawapan yang diberikannya salah.

5. Kok Keong berasa _________ apabila melihat ibunya yang sedang menderita kerana
sakit.

6.Sarimah telah ___________ untuk berlancong ke Eropah kerana deman.

7.Emak yakin bahawa _________ antara Pak Wan dan Pak Wahad tidak akan berlarutan
kerana mereka berdua ialah adik-beradik.

8. Keputusan hakim itu diterimanya dengan ____________.

9.Ayah terpaksa _________ untuk menyara perbelanjaan kehidupan sekeluarga.

10.Farid menjadikan majikannya sebagai ___________ untuk mendapat projek itu.

Kata kerja (10%)
Lengkapkan ayat di bawah dengan memilih kata kerja yang paling sesuai.

1.Semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha untuk ________ masalah penagihan.
A. menegah C. menolak
B. mengetepikan D. mencegah

2.Para pelajar diminta ________ dalam kumpulan untuk menyenaraikan isi-isi penting
karangan.
A. bertanya C. berbincang
B. bercakap D. berbual

3.Chef Wan _______ cara-cara membuat kek berlapis kepada peserta kursus masakan.
A. mempamerkan C. menayangkan
B. melihatkan D. menunjukkan

4.Pegawai daerah itu __________ pelbagai pertanyaan daripada orang ramai tentang
subsidi yang telah dijanjikan.
A. dilontari C. dihampiri
B. dihujani D. dicurahi

5.Pihak Kastam berjaya _______ kegiatan penyeludupan di perairan Selat Melaka.
A. menundukkan C. menumpaskan
B. menghapuskan D. menumbangkan

6.Pawang Ali mahir ________ pesakit mental walaupun tanpa kelulusan kedoktoran.
A. memulih C. membaiki
B. merawat D. membetulkan

7.Pustakawan itu ________ buku yang tidak mahu kami pinjam itu di atas rak semula.
A. menyusunkan C. menghimpunkan
B. menegakkan D. meletakkan

8._________ nya menjadi kabur semenjak dia menghidap penyakit kencing manis.
A. Pengamatan C. Pemerhatian
B. Penglihatan D. Pengecaman

9.Azizah mengucapkan terima kasih kepada jiran-jiran yang telah datang _______
majlis perkahwinan anaknya.
A. meriuhkan C. menggamatkan
B. membanyakkan D. memeriahkan

10.Datuk ketawa ________ apabila disindir kerana berjalan berpasangan dengan nenek.
A. teresak-esak C. terpinga-pinga
B. terjerit-jerit D. terbahak-bahak

Kata kerja (24%)
Nyatakan kata kerja kemudian tentukan kata kerja itu sama ada kata kerja tak transitif (KKTT) atau kata kerja transitif (KKT).

1.Halimah berlari dalam hujan untuk mengangkat pakaian di ampaian.

2.Baginda bersama-sama dengan permaisuri merasmikan pesta budaya di tepi pantai.

3.Sejak kecil ibu bapa mendidik kita supaya menjadi orang yang berguna kepada
masyarakat.

4.Setiap malam ibu minum air suam sebelum tidur.

5.Pak Hisham memotong rumput dengan mesin ciptaannya sendiri.

6.Setiap petang, dia berdiri di situ menunggu anaknya pulang.

Dipetik dari Koleksi Soalan Bahasa Melayu SEKOLAH MENENGAH TSUN JIN, KUALA LUMPUR

Peperiksaan Pertengahan Semester I, 2006

1 ulasan:

  1. salam, ada ulasan jawapan bagi soalan bahasa melayu ni x?

    BalasPadam