Isnin, 15 Jun 2009

PERMAINAN TRADISIONAL



Masyarakat melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Tempoh peralihan antara musim digunakan untuk mengadakan keramian serta pesta di padang permainan. Permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Antaranya ialah aci sorok, batu seremban, cari cucu, bulu ayam, congkak, gasing dan wau.

ACI SOROK

Juga dikenali sebagai main sorok-sorok. Ia amat mudah dan jumlah pemain tidak terhad. Permainan ini memerlukan kawasan yang luas. Seorang pemain yang dikenali sebagai pencari, harus mencari rakan-rakannya yang bersembunyi. Pemain pertama yang dijumpai akan menjadi pencari pada permainan yang seterusnya.

BATU SEREMBAN

Juga dikenali sebagai permainan selambut atau serembat. Biasanya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Buah yang digunakan sebanyak lima atau tujuh biji, biasanya ialah guli kaca, biji getah dan ketulan batu kerikil. Ianya memerlukan permukaan yang rata dan kebiasaannya para pemain duduk di atas lantai.








CARI CUCU

Permaian mencari cucu dimainkan diluar rumah, di kawasan yang lapang. Sehelai sapu tangan digunakan untuk menutup mata dan sebatang kayu tongkat diperlukan sebagai alat. Seorang dari pemain harus menjadi nenek yang akan ditutup matanya dan diberikan sebatang tongkat untuk dipegang dan berpelakuan seperti nenek tua yang buta. Kesemua pemain akan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan sambil menyanyi.

nenek, nenek,
si bongkok tiga
siang mengantuk
malam berjaga
mencari cucu
di mana berada
nenekku kahwin
dengan anak raja

setelah cucu selesai menyanyi, nenek pula akan menyanyi

cucu, cucu
tak dapat lari
nenek tua
hai banyak sakti
sekarang nenek
nak cari ganti
siapa yang kena
dia yang jadi

nenek akan mencari dengan menggunakan tongkat. selepas dapat menangkap dan meneka dengan betul, pemain tersebut akan menggantikan nenek tersebut.

BULU AYAM
Permainan ini dikenali sebagai sepak bulu ayam, sebuyam atau chapteh. Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak bunga.










CONGKAK
Permainan Congkak dipercayai berasal dari Timur Tengah, dunia Arab. Permainan lalu berkembang hingga masa kesultanan Melaka dan permainan congkak sering dimainkan oleh keluarga istana. Pada masa dulu, orang main congkak hanya dengan kelompok sosial tertentu, misalnya kelompok nelayan atau kelompok petani. Jadi, orang yang memiliki status sosial yang sama akan bermain congkak bersama-sama. Namun, status sosial ini mula bercair sehingga permainan ini bukan hanya milik keluarga istana atau rakyat biasa sahaja, tetapi telah menjadi permainan rakyat Melayu.

Papan dan buah congkak digunakan untuk permainan congkak. Papan congkak dibuat dari bahan dasar kayu. Papan congkak terdapat 7 lubang di sisi kanan dan kiri dan di hujung papan, terdapat lubang yang besar. Lubang di sisi kanan dan kiri dinamakan lubang kampung. Lubang di hujung dinamakan lubang rumah atau lubang induk. Guli, biji getah atau kulit siput yang terdapat di tepi pantai digunakan sebagai buah congkak.Permainan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang pemain dalam satu masa. Pemain akan duduk secara bertentangan dan ‘kampung’ akan diisi dengan buah congkak yang mempunyai bilangan buah yang sama. Pemain akan memulakan permainan dengan mengambil buah dari mana-mana lubang dan akan memasukkannya satu demi satu ke dalam ‘kampung’ dan ‘rumah’. Jika buah yang terakhir dimasukkan ke dalam lubang yang berisi atau dimasukkan dalam ‘rumah’, pemain boleh meneruskan permainan untuk pusingan yang kedua tetapi jika sebaliknya, pemain akan berhenti dan menunggu pihak lawan menghabiskan buahnya.

Pemain yang ada buah yang paling banyak di “rumahnya” akan menjadi pemenang.








GASING
Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.
Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.
Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.












WAU

Permainan wau ini juga dikenali dengan layang-layang.Permainan wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan sejak kurun ke 15. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Wau dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama tersendiri seperti wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah dan wau barat. Begitupun wau bulan sangat digemari oleh orang Melayu. Reka corak biasanya bermotifkan awan larat akan menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dan diwarnakan dengan pelbagai warna. Selain dijadikan bahan permainan, wau juga menjadi hasil kraftangan dan hiasan dinding
Cara Bermain
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung akan memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang berwarna-warni itu.































































2 ulasan: