Isnin, 29 Jun 2009

Tentang Parlimen lagi

Pembubaran Parlimen

Berdasarkan Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.

Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum.

Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan, dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya.

Penamaan Calon

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.

Seseorang yang ingin bertanding dalam pilihanraya (calon) hendaklah:
> warganegara Malaysia
> berumur 21 tahun ke atas
> bermastautin secara tetap dalam kawasan pilihanraya dan mendaftar dalam daftar pengundi dengan SPR
> tidak diistiharkan muflis oleh mahkamah dan sempurna akal
> tidak disabitkan dengan sesuatu kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidka kurang daripada 12 bulan atau didenda tidak kurang daripada RM2000 dan belum mendapat pengampunan.

Calon boleh bertanding atas nama parti atau perseorangan dan perlu menyediakan wang RM10,000 sebagai wang pertaruhan untuk bertanding kerusi Dewan Rakyat dan RM5000 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri.

Wang pertaruhan akan hilang jika calon gagal untuk meraih sekurang-kurangnya satu perlapan daripada jumlan undi yang diraih oleh calon-calon lain.

Kertas penamaan calon hendaklah diserahkan antara jam 9.00 hingga 11.00 pagi pada hari penamaan calon.

Kempen

Sebelum hari pengundian, calon-calon yang bertanding diberi peluang untuk berkempen bagi memancing undi. Tempoh berkempen bermaksud jarak masa antara hari penamaan calon dengna hari pengundian.

Kaedah berkempen diadakan dalam pelbagai bentuk seperti penyebara risalah, surat, pelekat, poster, ceramah serta kempen dari rumah ke rumah.

Semua kempen pilihan raya hendaklah ditamatkan sebelum jam 12.00 tengah malam menjelang hari pengundian.

Seseorang calon perlu mematuhi beberapa peraturan semasa berkempen seperti:
> tidak menggunakan tingkah laku atau peribadi seseorang sebagai bahan untuk berkempen atau memancing undi.

> memastikan semua risalah atau bahan bercetak yang diedarkan semasa berkempen menganudngi alat pencetak atau penerbit.

> mengelak daripada melakukan perbuatan menyogok atau menjamu sesiapa dengan tujuan untuk mempengaruhi orang itu membeli undi, tidak mengundi calon tertentu atau tidak keluar mengundi.

> menggunakan kekerasan atau paksaan untuk memancing undi.

> memberi rasuah dengna niat untuk memancing undi.

Pengundian

Dalam sebuah demokrasi, "pengundian" biasanya melibatkan pilihan raya, iaitu satu cara untuk para pengundi memilih calon untuk jawatan. Dalam politik, "pengundian" ialah cara untuk para pengundi dalam sebuah demokrasi untuk melantik wakil-wakil untuk kerajaan mereka. Undi ialah pemilihan seseorang calon (atau sekumpulan calon) dengan penandaan pada kertas undi.

Pada hari pengundian, semua pengudi yang telah berdaftar dengan SPR akan keluar mengundi mulai jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang pada hari yang sama.

Pengundian hanya dijalankan di tempat-tempat yang telah diwartakan.

Hanya pengundi yang memenuhi kelayakan sahaja dibenarkan untuk mengundi iaitu:
> berumur 21 tahun dan ke atas dan mendaftar dengan SPR.
> mengundi di kawasan yang didaftarkan sahaja.
> warganegara Malaysia dan waras akal fikiran.

Pengundi mengundi calon dengan menandakan tanda pangkah(X) dalam ruang yang bertentangan dengan nama atau simbol calon. Kertas undi yang telah ditanda hendaklah dimasukkan ke dalam peti undi.

Pengiraan Undi

Undi akan dikira untuk menentukan pemenang yang akan menjadi wakil rakyat dalam sesuatu kawasan.

Pengiraan undi dilakukan di tempat mengundi yang telah ditetapkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Hanya beberapa individu yang dibenarkan berada di tempat mengira undi iaitu:
> ahli dan pegawai SPR
> pegawai yang dilantik oleh SPR
> kerani mengira undi
> calon, wakil calon dan ejen mengira undi bagi memastikan pengiraan dilakukan dengan adil dan betul.

Pengisytiharaan Pemenang

Selepas undi selesai dikira, penyata pengiraan undi akan dibawa kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di tempat perjumlahan rasmi.

Keputusan Pilihan Raya akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Kawasan dan calon yang mendapat undi terbanyak diisytiharkan menang.

Pembentukan Kerajaan

Parti yang menang dengan kelebihan kerusi majoriti akan membentuk kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan