Ahad, 19 Julai 2009

Karangan Jenis Cereka / Pengalaman / Melengkapkan Cerita

1 Karangan jenis ini berbentuk cerita. Soalan jenis ini lazimnya meminta calon memulakan atau menyudahkan sesuatu cerita. Sedutan peristiwa yang diberikan pada awal atau akhir cerita mestilah dijadikan PANDUAN untuk melengkapkan cerita kamu itu. Soalan haruslah dianggap sebagai suatu masalah yang harus kamu tangani dan selesaikan di akhir cerita. SEMUA persoalan harus dijawab dan SETIAP watak yang dikenalkan harus dikembangkan.

2 Biasanya sesuatu karangan haruslah mempunyai unsur-unsur seperti:
a) WATAK
b) LATAR TEMPAT
c) LATAR MASA
d) PERKEMBANGAN CERITA --> PERISTIWA, AKIBAT KEJADIAN, PLOT ATAU JALAN CERITA
e) PENYUDAH
f) PENGAJARAN

3 Setiap isi cerita harus mempunyai kaitan antara satu sama lain.

4 Plot untuk karangan jenis cereka mempunyai TIGA tahap yang utama, iaitu tahap permulaan, klimaks/suspens, dan penyelesaian.

5 PENTING!! Dalam peperiksaan, karanglah cerita yang menarik dan memberi kesan serta kreatif. NAMUN, JANGAN MENULIS tentang plot-plot yang TIDAK LOGIK dan berunsur cerita LUCAH atau HANTU. Kamu tidak akan mendapat markah yang tinggi dari segi ISI.

6 Teknik penulisan memainkan peranan yang penting dalam karangan jenis ini. Seelok-eloknya masukkan unsur-unsur ketegangan, dialog, diari, imbas kembali, imbas ke hadapan dan sebagainya supaya cerita anda tidak membosankan pembaca.

7 Untuk menjadikan cerita kamu lebih istimewa dan berkesan, pelbagaikanlah penggunaan ayat dalam karangan kamu

.8 Selain itu, gunakanlah unsur-unsur bahasa yang kreatif seperti kiasan,peribahasa, dialog dan bahasa berbunga untuk menimbulkan gaya bahasa yang menarik dan sesuai dengan isi cerita. Kamu juga boleh menggunakan deria untuk menambahkan keberkesanannya karangan kamu seperti karangan jenis gambaran.

9 Jika boleh, selitkan nilai-nilai murni dan yang memberikan pengajaran kepada pembaca.

Contoh Soalan

Jam di dinding menunjukkan hampir pukul 9.30 pagi. Pada hari Ahad begini lazimnya kami sekeluarga pergi berjalan-jalan. Namun, ketika duduk bersarapan di meja makan, aku keseorangan. Hatiku tertanya-tanya manatah perginya ahli keluarga yang lain? Aku terus menyapu seri kaya pada sekeping roti lalu menyuapnya ke mulut. Air kopi panas yang disediakan oleh Mak Munah kuhirup perlahan-lahan. Mulakan perenggan seterusnya untuk menyambung cerita anda berdasarkan perenggan di atas.

Rangka Jawapan

Isi· Sebentar kemudian kelihatan kakak keluar dari bilik tidurnya – aku bertanyakan ayah dan ibu serta adik-adik yang lain – kakak hanya tersenyum simpul – memberitahu mereka telah keluar awal pagi tadi – hatiku memberontak kerana tidak diajak bersama – malah, aku turut berasa hairan apa yang menggelikan hati kakak sehingga dia tidak habis-habis tersenyum sendirian.·

Aku menghabiskan masa membaca novel di dalam bilik – jam sudah pun menunjukkan pukul 2.30 petang – hatiku panas tidak terkira memikirkan tindakan mereka meninggalkan aku bersendirian di rumah bersama kakak – puas aku memujuk kakak supaya membawa aku berjalan-jalan – pelbagai alasan yang diberikan – aku terpaksa beralah.·

Aku mula naik angin apabila mereka tidak pulang-pulang walaupun sudah petang – aku mengetuk pintu bilik kakak dengan kuat – perasaan marahku tidak lagi mampu disembunyikan – kakak meminta aku bersabar – aku tidak peduli – sama ada dia bawa aku keluar berjalan-jalan atau aku akan merajuk sepanjang hari – kakak akur dengan permintaanku – aku tersenyum girang.

Penutup

Menaiki teksi menuju ke sebuah bukit – kelihatan sebuah hotel tersergam di atas puncak bukit itu dalam kawasan yang terjaga rapi – aku mengingatkan kakak bahawa makanan di hotel mahal – kakak masih belum bekerja – aku ketawa besar apabila dia mengatakan dia telah menang loteri – pintu hotel terbuka luas – satu sorakan kedengaran – seluruh ahli keluargaku berada di situ – rupa-rupanya mereka telah menempah beberapa meja untuk meraikan hari jadiku – aku terkedu - sambil memeluk ayah dan ibu, air mata kegembiraan mengalir di pipiku.

3 ulasan:

  1. Nota yang amat berguna buat saya sebagai guru yang baru mengajar BM..terima kasih..

    BalasPadam
  2. Kegigihan dalam mencapai cita-cita

    BalasPadam
  3. Kegigihan dalam mencapai cita-cita

    BalasPadam